Translate

Rabu, 27 Mac 2013

PENGENALAN KEMAHIRAN MEMBACA

PENGENALAN
Kemampuan murid untuk membaca dan memahami sesuatu bahan bacaan adalah berkait dengan kejayaan dan keberkesanan dalam sistem pendidikan kita pada masa kini. Menurut Abd. Aziz (2000), aspek terpenting dalam aktiviti bacaan ialah kefahaman. Oleh itu, membaca boleh dikatakan sebagai aktiviti untuk memahami hasil pemikiran penulis atau mendapatkan maklumat daripada bahan yang telah ditulis itu.

Sebenarnya, membaca merupakan aktiviti lanjutan daripada kemahiran mendengar dan bertutur. Kemahiran mendengar melibatkan deria pendengaran dan gandingan interpretasi otak. Kemahiran bertutur pula melibatkan alat-alat artikulasi manusia. Manakala kemahiran membaca melibatkan deria penglihatan dan alat-alat artikulasi, iaitu gabungan aktiviti verbal dan literasi secara serentak.

Oleh itu, kemahiran membaca ialah kemahiran yang berasaskan gabungan kemahiran mendengar dan bertutur. Hal ini kerana tanpa penguasaan dalam kedua-dua kemahiran tersebut maka kemahiran membaca tidak mungkin boleh dikuasai.